Wednesday, February 9, 2011

CERPEN : CENUAI

CENUAI
Muhammad Izuan Rejab

Satu pagi yang indah sekali. Kelihatan di ufuk timur matahari mula memancarkan sinarnya. Angin pagi bertiup sepoi-sepoi bahasa dengan kedinginan pagi yang mencengkam ke setiap anggota badan. Anak-anak ayam berlari-lari mengikut ibunya mencari makanan. Permandangan yang indah dalam Kampung Sekapur Sireh. Namun , keindahan itu tidak sama seperti hati Leman iaitu seorang anak muda yang dilanda keresahan sejak beberapa hari yang lalu. Dari jauh kelihatan Leman sedang duduk menghadap bukit yang tersergam di hadapan tingkap lalu duduk di beranda rumahnya. Sesekali bukit itu seperti Sang Kelembai yang berbaring dengan enaknya. Leman bekerja sebagai penoreh getah  di kampungnya.
Walaupun sudah berumur 38 tahun Leman masih belum mempunyai teman hidup. Pernah dia ditunangkan dengan sepupunya Leha tetapi pertunangan itu putus kerana gadis itu tidak ada tempat di hatinya. Baginya, hanya seorang sahaja yang dicintainya walaupun hanya bayangan si dara menemaninya setiap masa. Pernah dirinya disyorkan oleh jiran sebelah-menyebelah untuk mengamalkan mandi bunga. Biar dapat jodoh kata mereka. Tetapi Leman hanya menyambut dengan senyuman sinis dibibir kerana dia pasti akan ada jalan lain yang lebih berkesan daripada melakukan amalan mandi bunga.
Kadang kala, apabila memikirkan semula tindakannya terhadap Leha timbul rasa bersalah. Apatah lagi Leha yang tidak dapat menerima keputusan bodohnya itu cuba membunuh diri. Setelah beberapa bulan, barulah Leha boleh menerima hakikat itu lantas dikahwinkan dengan anak Penghulu Lempoyang. Berbahagialah Leha sehingga akhir hayat tetapi dirinya tetap bersendirian. Mungkin ini balasan bagi dosaku hingga membuat Leha merana, sekarang aku yang tak kahwin-kahwin lagi.” Leman mengomel sendirian. Kini, gadis idamannya datang semula menyingkap tabir  rindu yang memuncak sejak dahulu lagi.Elly Mazni. Ya..itulah nama gadis pujaan yang diharap-harapkan, bukannya Leha. Dahulu, Elly Mazni berpindah ke kampung neneknya, Leman berputih mata lalu setuju di tunangkan. Setelah kemunculan Elly Mazni semula di kampungnya, Leman lantas memutuskan ikatan pertunangannya dengan Leha. Bila diingatkan kembali, memeang Leman kasihan dengan nasib yang menimpa Leha. Sungguh kejam rasa dirinya ketika itu.
Sejak Elly Mazni, anak Pak Junid berpindah ke Kampung Sekapur Sireh dua bulan yang lalu, Leman tidak dapat tidur lena. Siang dan malam hatinya sentiasa resah. Sekejap-sekejap wajah Elly Mazni berhidung mancung tersangkut di bibir matanya. Kadang kala terbayang-bayang lesung pipit di pipi kiri kanan Elly Mazni tersangkut di pintu biliknya.
Cantik sungguh anak dara sunti Pak Junid seorang itu. Hendak dibandingkan dengan anak dara di Kampung Sekapur Sireh, tidak ada seorang pun yang secantik itu. Hidung Elly Mazni mancung bak seludang. Matanya bulat bak bintang kejora dan pipinya gebu bak pauh dilayang. Itulah yang sentiasa membuatkan jiwa Leman bergelora. Oh, oh, cantik sungguh Elly Mazni itu. Serba sempurna di mata Leman. Inilah yang membuatkan Leman tidak dapat tidur lena. Leman berkisar punggungnya lalu bersandar di dinding rumahnya yang telah dimamah usia dan menanti waktu untuk runtuh sahaja.. Berkeriut bunyi lantai papan apabila Leman berkisar punggung lalu dilunjurkan kakinya ke hadapan.
Lehernya jenjang sebagai Buyung Petani
Pipinya sebagai pauh dilayang
Hidungnya mancung sebagai selondang
Rupanya sebagai bukur daun sirih
Bulu keningnya Seri Bulan
Bibirnya sebagai buah delima merekah
Bibirnya juga sebagai tampang dibelah
Matanya sebagai bintang pagi
Dadanya bidang, pinggangnya ramping
Jarinya beranak serai
Betisnya bunting padi
Rambutnya ikal mayang
Nampak berderang air ditelan
Tumitnya sebagai telur dikupas
Gugup pula awan sekeliling

*          *          *
Sudah dua hari Leman tidak menoreh getahnya arwah bapanya di hujung kampung. Itulah satu-satunya harta yang Leman ada selain dari rumah usangnya. Sedih hatinya mengenangkan arwah bapanya yang meninggal dunia setelah lemas di sungai sewaktu menjala ikan di sungai yang terletak dihujung kampung. Selama seminggu orang kampung mencari, barulah ditemui mayatnya yang sudah keras akibat lama terbiar dalam air. Selepas itu, selang dua tahun, ibunya pula meninggal akibat sakit tua. Kini, tinggallah dia yatim piatu. “Hai, dah nasib badan, hidup sebatang kara tiada beribu bapa. Lainlah kalau ada Elly Mazniku, terubat juga jiwa yang lara”. Kata Leman menyedapkan hatinya yang semakin diulit sedih. Matanya pejam. Leman tidur dalam kesyahduan.
*          *          *
Embun pagi masih menitik dari hujung daun pokok-pokok di halaman rumah Leman. Dingin pagi mula menggigit kulit Leman yang hanya diselimuti kain elekat bercorak kotak-kotak. Bunyi ayam berkokok bersahut-sahutan di selang-seli bunyi ayam lepas kandang. Pagi itu dia lewat lagi dari tidurnya. Semua ini disebabkan Elly Mazni. Macam mana hendak ke kebun getah, kalau bangkitnya lewat. Bangkit pagi hendah bersiap jemput-jemput pisang dengan kopi pahit sahaja hari sudah siang. Mandi dan bersiap tidak dikira lagi. Walaupun bujang, Leman seorang yang bertanggungjawab dalam soal makan dan makai.
“ Tak mengapa…,” bisik hati Leman, terkenang akan pokok getah yang tidak ditoreh. “Aku tak pergi kerana teringatkan Elly Mazni. Tak mengapalah.”
Dua hari tidak menoreh, Leman sudah hilang lapan keping getah. Itu tidak termasuk sekerap getah beku dalam cawan-cawan yang belum dikutip. Mala tadi hujan agak lebat, sudah pasti getah yang bertakung bercampur air hujan. Rugi juga kalau nak diikutkan rugi, tetapi esok boleh sambung menorah lagi. Yang penting, macam mana mencari jalan hendak mendapatkan Elly Mazni supaya jatuh ke tangannya. Leman tidak sabar lagi hendak bersama-sama Elly Mazni. Kalau boleh biarlah Elly Mazni menjadi isterinya dan tinggal di rumah sahaja. “Oh, Elly Mazni, oh…!”
Dahulu, Leman tidaklah angau seperti ini. Hal ini disebabkan dahulunya Elly Mazni tinggal bersama neneknya di Kampung Semarak Api. Elly Mazni bersekolah dan sampai bekerja kilang pun tinggal dengan di rumah neneknya. Dua bulan yang lalu barulah Elly Mazni tinggal di rumah bapanya Pak Junid. Pulang terus dan tidak lagi tinggal di Kampung Semarak Api kerana neneknya sudah meninggal dunia. Elly Mazni memang rapat dengan neneknya itu.
“Aku belum ucap takziah kepada Elly,” bisik Leman mengurut misainya yang lebat. “Tentu Elly Mazni sedang bersedih hati mengenangkan neneknya yang baru meninggal.” “Ah, kalau aku berada di sampingnya,” bisik Leman terus berangan-angan. “Bolehlah aku menghiburkan hatinya dan tentu dia tidak bersedih lagi.” “Oh, Elly Mazniku sayang,”katanya lagi dan angaunya terus meronta-ronta dalam kepalanya. Tika itu radio Leman yang dibuka asyik mendendangkan lagu-lagu yang mendayu-dayu. Gemersik sungguh suara A. Ramlee, penyanyi era 60-an mendendangkan lagu Oh Fatimah.
Oh Elly Mazni...gadis ayu...paras indah....wajah berseri. Leman menyanyi kecil dengan mengikut rentak lagu itu dengan dilemanya yang masih tak berkesudahan.
Leman menelentang di lantai rumahnya dengan tidak berbaju. Lengannya diletakkan di dahi sambil matanya terkelip-kelip memandang bumbung rumah. Rumah ini mesti diperbaiki kalau Elly Mazni menjadi isteriku.
“Kita  cari rumah sewa di bandar,” bisik Leman sendirian. “Kita beli motosikal baru. Abang hantar Elly ke tempat kerja dengan motosikal.
“Takkan Elly nak naik gerek abang,” kata Leman sambil mulutnya tersenyum macam kerang busuk. “Gerek ni abang gunakan untuk ke tempat kerja abang saja.”
Leman mengingat kembali simpanannya sejak empat tahun lalu. Ada sepuluh ribu semuanya yang disimpan dalam bank. Leman tidaklah berjoli seperti anak muda yang lain. Sebab itu dia ada duit dan berangan-angan besar untuk memiliki Elly Mazni. “Umur abang dah 38 tahun,” kata Leman seolah-olah Elly Mazni berada di sisinya. “Elly baru 24 tahun. Wow, masih solid lagi…!” Terkekeh-kekeh Leman ketawa.
Umur bukanlah menjadi jarak ukuran untuk menjadi jarak ukuran untuk menjadi suami Elly Mazli. Yang penting ada duit dan Elly tidaklah hidup menderita. Yang penting Elly Mazni akan bahagia di samping  abang tanpa ragu-ragu lagi.
Elly tahu kan, Michale Douglas lebih tua sakan daripada isterinya Zeta Jones. Mereka kahwin juga. Abang baru 38 dan Elly 24 tahun . Tak tua sangat abang ni.” Leman bangkit dari baringnya dan memandang ke halaman rumah. Matanya tajam merenung ke hadapan dan telinganya bagaikan terdengar tayar gerek berhenti di halaman rumahnya itu.
“Agaknya, Deris datang kot…” fikir Leman lantas bangkit dari duduknya. Dia berjalan menuju ke tangga rumah. “Assalamualaikum Leman…” Deris menyapa.Leman menjawab salam yang diberikan oleh Deris. Selepas itu, Deris duduk di tangga rumah bersebelahan Leman. Dia memakai baju kemeja lusuh berwarna hijau dan berseluar panjang.
“Kau nak pergi tak…?”tanya Deris dengan nada yang sedikit meninggi.  
Kalau padi katakan padi,
Tidak aku tertampi-tampi,
Kalau jadi katakan jadi,
Tidak aku ternanti-nanti.
“Ya, aku lupalah…,” balas Leman dan masuk ke biliknya dan mencapai baju T-shirt merahnya. Disarungkan ke badan tanpa mandi dan menyapu bedak.
“Kau dah ambil gambar Elly Mazni tu?” Tanya Leman memandang Deris. Semalam dia menyuruh Deris mengambil gambar Elly Mazni kerana gambar itu penting. Gambar Elly Mazni pasti dapat membantu Leman menunaikan hasrat yang ingin dilunaskannya.
“Banyak tak jadi…” jawab Deris.
‘Kenapa,…? Tanya Leman terkejut.
“Gambar curi…,” jawab Deris ketawa, lalu dikeluarkan gambar dari koceknya. Ada dua belas keping yang menjadi dan diberikan kepada Leman.
“Kenapa gambar ni…?” Leman terkejut melihat banyak gambar setengah, kadang-kadang nampak kaki Elly Mazni sahaja.
“Aku mana pandai ambil gambar,” jawab Deris tersenyum mulus terkenangkan kakinya terpijak tahi lembu di halaman rumah Elly Mazni.
Semasa Deris mencuri-curi mengambil gambar Elly Mazni dari balik pokok pisang, dia terpijak najis binatang itu. Tidak terasa kakinya terpijak tahi lembu cair. Ketika itu Pak Junid muncul di pelantar sambil berdehem. Deris tergamam. Fikirnya Pak Junid sudah nampak dia mengambil gambar lalu dia pecut seribu. Mujur dia tidak tertangkap.
“Gambar yang satu ni okey sikit,” ujar Leman menilik-nilik gambar itu. Wajah Elly Mazni tak berapa jelas tetapi masih nampak keayuannya itu. “Jom kita pergi…,” kata Deris.
Dalam perjalanan ke tempat yang ingin dituju, Leman terus memuji keayuan Elly Mazni. Dalam hatinya mengatakan kekasih pujaannya itu bagaikan puteri warisan melayu, keayuan sentiasa terserlah umpama bintang yang sentiasa bersinar di langit yang indah. Deris yang berada di sebelah Leman senyum sinis dan agak meluat dengan Leman yang tak ubah seperti memeluk bayang-bayang. Perjalanan menaiki gerek memakan masa yang agak lama.
“Lambat benar nak sampai. Aku sudah tak tahan dengan keinginan hati yang kemaruk gaban dengan Elly Mazni ni. Cepat la Deris. Lambat macam kura-kuralah”. Getus Leman yang sudah tidak sabar dengan niat jahatnya itu.
“Sabarlah Cik Leman ooii. Takkan lari gunung dikejar. Ikut suka luka, ikut hati mati, ikut rasa binasa”.
Mereka mula bertolak. Dari rumah Leman itu, mereka menaiki gerek menuju ke Kampung Gunung Ledang. Tujuan mereka ke situ hendak mendapatkan ubat cenuai daripada Pawang  Gendut. Pawang Gendut memang pandai membuat ubat cenuai untuk memudahkan kaum lelaki yang ingin payah memikat perempuan. Cubalah cabar kehandalan Pawang Gendut. Tiada sesiapa yang dapat memperlekehkan kehebatan pawang itu. Masakan dia boleh beristeri empat jika tidak menggunakan ilmu warisan nenek moyangnya itu.
Derislah yang mencadangkan dia ke rumah Pawang Gendut untuk mendapatkan ubat cenuai. Pengerasnya tidaklah banyak, cuma seratus ringgit sepuluh sen sahaja. Siang-siang lagi Leman sudah menyediakan duit sebanyak itu.
*          *          *
Leman dan Deris tiba di sebuah pondok buruk yang hanya menunggu masa hendak roboh sahaja. Setelah penat mengayuh gerek, mereka pun sampai di rumah Pawang Gendut. Leman dengan penuh semangat berjalan dengan Deris lalu memberi salam. Sebaik sahaja Pawang Gendut yang kebetulan ada di rumah menjawab salam lantas mempersilakan mereka naik dan dibawa ke sebuah bilik gelap. Seram sejuk Leman apabila dibawa ke bilik itu. Timbul macam-macam bayangan di ruang matanya. Manalah tahu jika hantu raya Pawang Gendut ada yang ingin mencekiknya. Lebih-lebih lagi di hadapannya terdapat tengkorak buruk yang menakutkan. Sesekali tersenyum Leman memandang tengkorak itu yang baginya tak ubah sama seperti muka Pawang Gendut. Terkulum-kulum mulut Leman menahan geli hatinya.
            “Apa khabar Tok?” Deris membuka bicara.
Siang malam pagi petang
Kami duduk membaca surat
Dari jauh kami ini datang
Kami ke mari ada hajat
“Mana gambar budak tu?” Tanya Pawang Gendut agak keras memandang Leman seolah-olah sudah tau isi hati mereka berdua.. Leman menunjukkan gambar Elly Mazni yang agak kabur tetapi masih lawa. Setelah meneliti gambar itu, Pawang Gendut menarik nafas panjang dan memujuk memuja gadis itu cantik.
Lehernya jenjang sebagai Buyung Petani
Pipinya sebagai pauh dilayang
Hidungnya mancung sebagai selondang
Rupanya sebagai bukur daun sirih
Bulu keningnya Seri Bulan
Bibirnya sebagai buah delima merekah
Bibirnya juga sebagai tampang dibelah
Matanya sebagai bintang pagi
Dadanya bidang, pinggangnya ramping
Jarinya beranak serai
Betisnya bunting padi
Rambutnya ikal mayang
Nampak berderang air ditelan
Tumitnya sebagai telur dikupas
Gugup pula awan sekeliling

“Kalau kamu tak mahu,” kata Pawang Gendut. “Tok rasa berkenan sangat pada gadis ni. Cantik orangnya ni.”
Bulat mata Leman apabila Pawang Gendut berkata begitu kepadanya. Sakit hati dan Marah bercampur dalam dirinya. “Orang tua kutuk tak sedar diri, rumah kata pergi kubur kata mari pun ada hati nak memikat gadis pujaan aku,” getus Leman dalam hatinya yang membengkak. Leman memandang dengan perasaan yang geram.
“Kau dah nak kan…,” kata Pawang Gendut. “Tok nak usik apa lagi. Tak kan Tok jahat macam kau…!” Pawang Gendut merenung gambar Elly Mazni dan menciumnya tiga kali. Kemudian, diberikan botol berisi ubat cenuai kepada Leman dengan berpesan syarat-syarat menyimpan ubat itu.
Sebelum kau palitkan minyak cenuai ni, kau jangan lupa baca mantera ni”.
Hai Dang Pok! Dang Malini!
Bertompok dayang ke sini,
Dang Pok! Dang Malini!
Tetap dayang di sini!
Bergerak langit tujuh lapis,
Bergerak anakku Maharaja Cahaya!
Teguh seperti batu keras,
Tak bergerak bumi tujuh lapis!
Tak bergerak anakku Maharaja Cahaya!
Seperti besi tetaplah,
Dari dunia datang akhirat,
Tetap sekali dengan tubuh badan ayah
                                     dan bondanya,
Bercerai Allah dengan Muhammad,
bercerai mu dengan aku,
Tak bercerai Allah dengan Muhammad,
Tak bercerai mu dengan aku.
“Minyak ni tak boleh langkah,” kata Pawang Gendut. “Yang kedua tak boleh mandi seminggu. Ketiga, mesti cuit waktu malam, tak boleh waktu siang, nanti tak mujarab.” Leman yang dah gersang sangat hendakkan Elly Mazni hanya mengangguk, tetapi bab ketiga itu dia berfikir panjang sambil mengerutkan keningnya. Cuit waktu malam agak sukar baginya kerana Elly Mazni tidak mungkin akan keluar dari rumahnya waktu malam. Walau bagaimanapun, keinginan yang tinggi kepada Elly Mazni menyebabkan Leman tetap tabah menerima segala pantang-larang Pawang Gendut itu.
“Boleh ingat…?” tanya Pawang Gendut menunggu pengeras yang bakal diberikan Leman. “Bolehlah Tok…,” kata Leman lalu memberikan pengeras yang sudah ditetapkan. Setelah ubat cenuai bertukar tangan mereka pun pulang tanpa menghiraukan Pawang Gendut yang tak sudah-sudah mengira duit pengerasnya. Habis duit aku! Getus Leman di dalam hati.
Sebelum pulang ke rumah, Leman singgah di warung Mak Tombek mengajak Deris minum teh dengan nasi lemak. Selepas makan, Leman membayar harga makanan dan terus pulang ke rumahnya.
*          *          *
Syahadan, malam itu Leman pun pergilah ke rumah Pak Junid. Leman menyorok di balik pokok pisang sambil memandang ke arah tangga rumah Pak Junid. Dia menekup hidungnya yang tak tahan dengan bau tahi lembu Pak Junid yang bersepah di kawasan itu dengan tapak tangan. “Nanti la, bila aku dah kahwin dengan Elly aku akan bawa dia jauh dari bau tahi lembu ni.Busuknya..!” kata Leman di dalam hati. Sambil itu matanya liar memandang ke arak tangga rumah. Kalau Elly Mazni turun ke tanah untuk pergi ke bilik air; dia akan menyentuh dan mencuit ubat cenuai dalam koceknya ke badan Elly Mazni. Lantas Leman mula membaca mantera pengasih yang diajar oleh Pawang Gendut.
Hai Dang Pok! Dang Malini!
Bertompok dayang ke sini,
Dang Pok! Dang Malini!
Tetap dayang di sini!
Bergerak langit tujuh lapis,
Bergerak anakku Maharaja Cahaya!
Teguh seperti batu keras,
Tak bergerak bumi tujuh lapis!
Tak bergerak anakku Maharaja Cahaya!
Seperti besi tetaplah,
Dari dunia datang akhirat,
Tetap sekali dengan tubuh badan ayah
                                     dan bondanya,
Bercerai Allah dengan Muhammad,
bercerai mu dengan aku,
Tak bercerai Allah dengan Muhammad,
Tak bercerai mu dengan aku.
Sementara itu, Elly Mazni yang berada di dalam rumah sejak lepas makan malam gelisah tidak menentu. Sekejap ke sana, sekejap ke sini. Mengapa hati aku asyik tidak tenteram? Elly termangu-mangu seorang diri di ruang tamu. Datang Mak Joyah, ibunya sambil membawa sepinggan mempelam muda. Sedih hati Elly Mazni memikirkan emak dan ayahnya yang kian dimamah usia namun masih tetap bekerja di bendang untuk menyara kehidupan mereka tiga beranak.
Apa yang kau termenungkan Elly? Dari tadi mak tengok kau sentiasa resah. Apa yang terjadi? Tanya Mak Joyah.
Entahlah mak, tak tau kenapa hati Elly asyik tidak tenteram. Macam ada sesuatu yang akan terjadi malam ni”. Muka Elly mengharap sepenuh simpati dari Mak Joyah.
Dalam hati Mak Joyah tertanya-tanya. “Pelik anak aku ni. Biasa baik sahaja. Ni, beza sekali macam orang mati laki. Mundar-mandir memeningkan kepala aku yang sememengnya pening sebab demam ni”.
Sudahlah Elly, tak usahlah kau fikirkan yang bukan-bukan. Tak ada apa-apa akan terjadi. Pergilah kau tidur”. Dengan agak mendatar Mak Joyah menyuruh Elly Mazni masuk ke bilik untuk tidur dan berehat. Elly Mazni yang sejak kecil diasuh dengan nilai-nilai murni mendengar kata emaknya. Terbirit-birit dia mengorak langkah ibarat kucing dihambat penyapu menuju ke kamar peraduan. Mata Mak Joyah mengiringi perjalanan Elly Mazni hingga ke kamar. Tiba-tiba, Mak Joyah berasa ingin membuang air kecil. Lalu dia mencapai lampu suluh di atas meja ruang tamu untuk ke bilik air yang terletak di luar rumah. Kelihatan Pak Junid, suaminya asyik menggobek sirih di atas pelantar. Itulah hobinya sejak zaman muda-muda lagi.
Setelah menunggu hampir setengah jam, kulit muka dan lengan Leman puas dijamah agas dan nyamuk. Kadang kala rasa seram menyelubungi dirinya apabila menbayangkan pokok-pokok pisang di hadapannya tak ubah seperti pocong yang terpacak di kuburan seperti cerita seram yang ditontonnya sejak dahulu. Sememangnya dirinya penakut sejak kecil lagi.
Pasti kaget dirinya jika ternampak hantu penanggal yang diceritakan oleh neneknya semasa dia kecil dahulu. Kononnya, seorang wanita bernama Esah pernah menjadi penanggal apabila terpedaya dengan hasutan syaitan yang menjanjikan dia sentiasa muda dan hidup selama-lamanya. Setiap 49 hari dia akan menjadi penanggal untuk menghisap darah anak dara untuk menguatkan lagi ilmu terlarangnya itu. Perkara itu berlarutan lama di kampung itu sehingga Wan Su iaitu seorang lebai yang tahu perihal asal usul penanggal. Esah dapat ditewaskan oleh Wan Su apabila segala usus dan jantungnya robek dek terkena kerambit yang dihayunkan oleh Wan Su. Matilah Esah setelah bercantum dengan badannya semula kerana badannya itu tidak boleh menerima organ dalaman yang cedera parah. Bila mengingatkan cerita lama itu, dada Leman semakin berdegup kencang.
“ Janganlah kalau benda macam tu masih ada. Hai, minta simpanglah malaikat empat puluh empat! Harap-harap tak ada benda macam tu lagi pada zaman ni”. Getus hati Leman yang semakin berdegup kencang. Penantiannya dikejutkan oleh satu bunyi pintu yang ditarik orang. Degup jantung Leman semakin kencang. “Nah, ini masa yang kutunggu-tunggu.”
Tiba-tiba dia nampak kelibat seseorang yang turun dari tangga hendak ke bilik air. Setapak demi setapak dia melangkah. Kini dia tidak mahu menunggu lama. Tanpa bertangguh lagi Leman segera menyerbu dengan mata terpejam. “Oh, Elly Mazniku…,” bisik Leman lalu menyerbu ke arah orang yang turun tangga. Sempat Leman mencuit ubat cenuai ke lengan orang itu. Matanya yang terpejam ditambah suasana kelam tidak menampakkan muka orang yang dicuitnya.
Oh, bukan main terkejut lagi Mak Joyah yang dicuit lengannya. Dengan latahnya dia terjerit-jerit sambil menyebut ‘orang’, ‘orang’. Pak Junid yang berada di pelantar turun terkejut dan menjerit sama kepada Leman. Dihambatnya Leman dengan batang penyapu yang terletak di tepi tangga rumahnya.
Sekuat tenaga gajah Leman berlari meninggalkan rumah Pak Junid. Tidak dihiraukan kasutnya yang terpijak tahi lembu. Tercungap-cungap dia apabila tiba di rumah. Selepas itu, barulah Leman dapat berfikir.
“Kenapa Mak Joyah yang aku cuit…,” bisik Leman dengan kesal tak sudah. Malam itu Leman tidak dapat tidur lena. Dia bimbang Mak Joyah akan jatuh cinta padanya. Anak yang hendak, emak pula yang datang mencari sama seperti lagu “Es Lilin” nyanyian Siti Nurhaliza.
“Parah, parah…,” keluh Leman. Entahkan mujarab atau tidak, ubat cenuai Pawang Gendut itu. Harap-haraplah jangan hendaknya mujarab ubat cenuai Pawang Gendut tu. Risau hati Leman memikirkan kebodohannya yang tidak memeriksa terlebih dahulu siapa yang turun dari rumah Elly Mazni tadi. Bodohlah aku ni...bodoh! Parahlah macam ni! Kata Leman berulang kali.
Keesokannya, pagi-pagi Leman sudah terjaga apabila cuping telinganya menangkap suara orang memanggil namanya. Leman cam benar siapa yang memanggilnya. Sudah tentu tak lain tak bukan Mak Joyah.
“Leman, oh, Leman…,” panggil Mak Joyah dengan suaranya yang manja ala-ala penyanyi Ella, Ratu Rock Malaysia yang popular dengan lagu “Rama-Rama.” Oh Leman...sayangku Leman...bukalah pintu rumah ni...Joyah rindu dengan Leman ni. Mendengar suara Mak Joyah membuatkan Leman diburu rasa takut dan bersalah.
Air serbat di dalam cangkir
Sampai Kawa saya curahkan
Haram taubat saya tak mungkir
Badan dan nyawa saya serahkan

Anak Islam main pedati
Burung merak hinggap di jati
Kalu sungguh cinta di hati
Sampai di kubur saya menanti

Berdegup kencang dada Leman mendengar suara Mak Joyah. Merdu dan lembut macam suara anaknya Elly Mazni. Leman tidak bangkit dari tidurnya. Suara itu terus memanggil namanya dan semakin mesra bunyinya.
Leman menuju ke tingkap rumahnya. Melalui lubang tingkap itu, dia nampak wajah Mak Joyah yang berbedak dan bergincu merah menyala bak buah delima. Pakaiannya pun nampak ranggi. Cantik sungguh Mak Joyah pagi itu. Almaklumlah...Mak Joyah pernah dinobatkan sebagai Ratu Kebaya kampungnya sebanyak tiga kali, yang didengar oleh arwah ibunya. Gayanya mengalahkan anak-anak dara dalam Kampung Sekapur Sireh.
“Parah aku, parah…,” keluh Leman dengan nada yang menyesal. Celaka punya Deris. Ini semua gara-gara ideanya yang mengarut. Tidak pasal-pasal dirinya yang menjadi mangsa. Leman menyesal dan bertaubat tidak akan berbuat demikian lagi. Mak Joyah masih menunggu Leman dengan suaranya yang lunak. Seminggu Leman tidak keluar rumah dan seminggu itulah Mak Joyah asyik bertandang ke rumahnya untuk berjumpa. Ini semua salah dirinya  kerana tersilap cuit. Tak guna punya minyak cenuai, tak pasal-pasal aku ditimpa malapetaka”. Leman membebel senyap-senyap.
Oleh yang demikian, Leman nekad melarikan diri pada malam yang ketujuh itu kerana sudah tak tahan lagi dengan rengekan Mak Joyah siang mahupun malam. Bertemankan kedinginan malam, Leman melarikan diri ke kampung seberang. “Ini sahaja jalan penyelesaianku. Dapat menyelamatkan diri dari gangguan Mak Joyah dan pasti dapat menutup aibku yang pasti akan diketahui orang jika tahu aku yang melakukan ini semua”. “Biar orang tahu yang Mak Joyah terkena buatan orang, bukan daripada aku. He...He...He...”. Leman berkata-kata dengan gelak ketawanya seolah-olah seronok pula dengan apa yang telah berlaku.
*          *          *
Sudah dua bulan peristiwa itu berlalu. Leman sudah  bekerja sebagai peniaga di Kampung Gambir Rongak, kampung sebelah setelah dia melarikan diri dahulu dari kampungnya. Malah, dia telah berkahwin dengan Munah yang merupakan janda anak dua yang memiliki warung di situ. Memang nasibnya baik kerana Munah sanggup mengahwininya. Semua orang menyangka tuah Leman tetapi sebenarnya Leman telah menggunakan ubat cenuai Pawang Gendut yang masih bersisa untuk memikat Munah dan mengahwininya. Setelah berkahwin dengan Munah ubat itu telah dibuangnya ke dalam sungai.
Dengar khabar dari kawannya Deris, Elly Mazni telah berkahwin dengan anak buah Tuk Penghulu Kampung Sekapur Sireh. “Elly...Elly... tiada jodoh antara kita rupanya. Maafkan abang jika telah menganiaya keluargamu. Semua disebabkan hawa nafsu serakah yang bersarang di  kalbu”. Berputih matalah Leman sampai bila-bila. Mak Joyah pula dikatakan telah pulih seperti sedia kala setelah disembuhkan oleh Pawang Gendut.
“Kasihan Mak Joyah. Tak pasal-pasal jadi mangsa minyak cenuai Pawang Gendut”.Timbul rasa kasihan dalam dirinya apabila mengingatkan diri Mak Joyah yang menjadi mangsanya. Suatu hari nanti dia akan meminta maaf daripada orang tua itu. Berbahagialah Leman dengan keluarga yang baru itu. Namun, dia tetap tidak akan melupakan Elly Mazni, pujaan hatinya yang sering membuatkan jiwanya bergelora dan segala peristiwa itu akan disimpannya hingga ke akhir hayatnya tanpa pengetahuan sesiapa pun.
Dendam terhadap minyak cenuai yang telah memberi kecelakaan kepada dirinya mulai pudar sedikit demi sedikit. Biarpun tidak sepenuhnya. Separuh-separuh pun jadilah. Kerana dalam dirinya mencapai satu kemenangan setelah dimalukan dan hampir rahsianya terbongkar akibat amalan minyak cenuai yang dibuat oleh Pawang Gendut.
Sudah nasib aku, tidak dapat mengecapi apa yang aku ingin sejak kecil. Tapi tak mengapalah, dapat Munah ni pun dah kira baik. Daripada aku tak kahwin langsung, dapat juga menumpang tuah isteri. Benarlah kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah sendiri siapa yang tahu”. Leman tersenyum lebar. Hatinya berbunga keriangan. Pengalaman hidupnya pasti tak dapat dilupakan. Sampai bila-bila. Leman masih tersenyum.

*          *          *



                                                                                                                 


No comments:

Post a Comment